GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut hendak menyebabkan kematian terhadap seorang penarik kereta menggunakan sebilah parang dan sepucuk pistol mainan.

Abdul Ghaffar Rosli, 29, dan Isma Muharis Ismail, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mereka didakwa bersama-sama mengugut Mohd Shah Rizal Misran, 41, di Lorong Jaya 2, Taman Jaya, Bandar Tun Razak di Cheras di sini pada 9.30 malam, 17 November lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh melakukan pemerasan terhadap mangsa sama sehingga mangsa menyerahkan sebuah motosikal di tempat, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md. Hadzaid tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

"Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa kerana tertuduh mengenali mangsa," katanya.

Abdul Ghaffar dan Isma Muharis masing-masing tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan manakala 13 Januari 2021 ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:54 PM