LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Pesakit barah usus tahap empat, Hassan Sani, 53, meninggal dunia di rumahnya di Parit 18, Tanjong Medan, Sungai Panjang di sini, jam 10.30 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Akmar Zainuddin, 48, dan dua anak berusia 27 dan 29 tahun.

Akmar berkata, dia reda dengan pemergian Hassan dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan suaminya selain memberi sokongan moral serta bantuan keperluan harian dan wang ringgit.

"Malam tadi, arwah sempat bersembang dengan saya. Dia mohon maaf di atas segala kesalahan dan mohon dihalalkan makan minumnya.

"Apa yang meruntun hati, saya tak sangka yang dia akan pergi menghadap Ilahi buat selamanya hari ini. Sebagai isteri, saya sedih namun reda dengan pemergiannya.

"Insha-Allah, jenazah suami akan dikebumikan selepas solat Asar," katanya dihubungi.

Pada 17 November lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan Hassan yang disahkan menghidap barah usus tahap empat sejak September lalu.

Penyakit itu memaksa Hassan dan keluarga berpindah dari dari Sungkai, Perak ke Tanjong Medan, Sungai Panjang, bagi mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan

  • Demi kasih padamu suamiku...
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 4:22 PM