GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan tujuh ahli kumpulan Didek yang disyaki melakukan samun, peras ugut dan pecah masuk kedai di sekitar Daerah Ampang Jaya dari 26 hingga 29 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua mereka terdiri daripada rakyat tempatan itu ditahan dalam operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sekitar Kuala Lumpur dan Ampang Jaya pada 26 hingga 29 November.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 42 tahun dan ujian air kencing mendapati mereka semua positif dadah jenis methamphetamine.

"Ketujuh-tujuh suspek mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah serta dua daripada mereka mempunyai rekod membabitkan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, dalam operasi khas itu polis merampas dua kereta, dua pisau, satu peket dadah disyaki syabu dan satu biji pil disyaki Erimin 5 dan pelbagai jenis telefon bimbit.

Beliau berkata, dengan penahanan ahli kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan satu kes peras ugut, empat kes samun dan dua kes pecah kedai di Daerah Ampang Jaya dan kawasan bersempadan dengan daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 11:25 PM