GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling; Adnan Ibrahim; Hazira Ahmad Zaidi; Zaid Salim; Amirul Aiman Hamsuddin dan Yun Mikail


Kuala Lumpur: Setiap agensi termasuk yang menguruskan kewangan mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan program dilaksanakan selari hasrat kerajaan serta berkesan buat semua lapisan rakyat.

Ia turut mengambil kira segala aspek selain teknikal bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dibantu dan tidak tercicir.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM), Azman Kang Abdullah berkata, isu syarat dikenakan untuk pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dilihat secara pentadbiran.

Katanya, biarpun isu berkenaan hangat diperkatakan ketika ini, masyarakat seharusnya mengambil kira mereka yang tiada caruman langsung sebelum ini.

"Kita tahu, sudah dijelaskan bahawa ada dua kategori termasuk mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau diberi notis cuti tanpa gaji.

"Tetapi, dalam konteks ini pengumuman KWSP itu pasti sudah mengambil kira segmen rakyat, sebab itu dihadkan baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

"Apa yang berlaku ialah ada pihak lain cuba memainkan isu ini untuk kepentingan sendiri sedangkan penerangan mengenainya sudah diberikan.

"Saya lihat jumlah mereka yang akan menerima manfaat juga sudah meningkat daripada dua juta sebelum ini kepada lapan juta. Ini tidak pula menjadi isu," katanya.

Menurutnya, jumlah peruntukan besar RM70 bilion itu sangat besar dibelanjakan kerajaan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, isu pokoknya ialah kelonggaran diberikan kerajaan untuk golongan memerlukan dan bersasar.

"KWSP adalah satu badan berkanun yang menguruskan wang simpanan kita. Mereka ini terdiri daripada pakar yang menentukan setakat mana pengeluaran yang boleh dibuat.

"Sudah tentu ada kaedah pengiraan yang diguna pakai selama ini baik dari segi pelaburan dan sebagainya.

"Jadi, masalah ini perlu dilihat berdasarkan segmen dan bukannya secara pukal, ia tidak tepat. Kalau ikutkan undang-undang tubuh, tidak boleh dikeluarkan, tetapi ini adalah kebenaran khas untuk membantu mereka yang terkesan," katanya.








Peniaga air kelapa muda, Johari Wahid, 41, Johor

"Duit simpanan dikeluarkan melalui i-Sinar ini akan digunakan membayar hutang yang dibuat sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19."

Pekerja kafe,Abdul Wafi DanialAbd Malek, 19

"Langkah kerajaan perkenalkan program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 adalah langkah tepat bagi membantu mereka yang terjejas."


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 9:56 AM