Bekalan air bersih dan selamat adalah satu keperluan. Walau bagaimanapun, menyediakan bekalan air yang bersih, selamat dan berterusan bukanlah satu tugas yang mudah. Proses untuk menghasilkan air bersih satu perkara yang tidak diketahui ramai. Proses ini bermula daripada mengabstrak air mentah dan kemudian dirawat untuk menghasilkan air bersih dan selamat yang diagihkan untuk kegunaan pengguna.Tiada pendedahan dan maklumat mencukupi tentang penghasilan air bersih oleh operator perkhidmatan air yang dibekalkan kepada pengguna.

Walaupun Air Selangor adalah pemegang lesen tunggal yang bertanggungjawab untuk merawat dan mengagih bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, mereka tidak beroperasi secara bersendirian. Air Selangor bekerja rapat dan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan bekalan air yang bersih dan selamat untuk pengguna diutamakan. Walaupun setiap pihak berkepentingan ini mempunyai peranan yang berbeza, semuanya sama penting. Air Selangor menyokong semua usaha yang dijalankan oleh SPAN, LUAS, Kementerian Alam Sekitar dan Air, serta pihak berkuasa berkaitan yang lain dalam bekerjasama bagi memastikan pemuliharaan sumber air mentah untuk memastikan masa depan air yang lestari buat pengguna. Apabila menyentuh isu berkaitan keperluan asas seperti air, setiap orang adalah pengguna dan mempunyai hak yang sama dalam mendapatkan bekalan air yang selamat dan bersih. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi sumber air yang bersih dan selamat untuk generasi yang akan datang.

TAHUKAH ANDA

Sebagai salah satu operator air terbesar di Malaysia, Air Selangor mengoperasi, mengurus dan menyelenggara:

  • 34 loji rawatan air

  • 5,000 juta liter sehari (JLH) kapasiti keseluruhan

  • Tujuh empangan; Empangan Sg Selangor, Empangan Sg Tinggi, Empangan Tasik Subang, Empangan Klang Gates, Empangan Semenyih, Empangan Sg Langan dan Empangan Kelau

  • Tiga fasiliti Penyimpanan Luar Sungai (ORS) dan satu fasiliti Peyimpanan Augmentasi Sungai Hibrid (HORAS)

  • 29,270 km rangkaian paip agihan

  • 11 wilayah pengagihan bekalan air; Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Langat, Sepang, Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

  • 2.4 juta akaun pelanggan (anggaran lebih 8.4 juta pengguna)
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 11:10 AM