ANGGOTA kastam melakukan pemeriksaan terhadap daging di gudang pembekal makanan sejuk beku yang diserbu pihak berkuasa pada 2 Disember lalu kerana dipercayai membungkus semula daging dengan logo halal palsu dan pemalsuan dokumen, di Taman Perindustrian Senai, Johor. FOTO Bernama
ANGGOTA kastam melakukan pemeriksaan terhadap daging di gudang pembekal makanan sejuk beku yang diserbu pihak berkuasa pada 2 Disember lalu kerana dipercayai membungkus semula daging dengan logo halal palsu dan pemalsuan dokumen, di Taman Perindustrian Senai, Johor. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemeriksaan di beberapa lokasi pemborong daging di seluruh negara bagi menyiasat sama ada terdapat daging sejuk beku seludup yang dibungkus semula dengan menggunakan logo halal.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan kepada pegawainya di seluruh negara untuk membuat pemeriksaan.

"Setakat hari ini saya belum menerima laporan lagi dan dijangka minggu hadapan laporan awal akan diterima.

"Jika hasil siasatan mendapati ada pemborong melakukan kesalahan itu, siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana bagi individu boleh dikenakan penalti RM100,000 atau tiga tahun penjara manakala syarikat boleh dikenakan penalti RM250,000," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Iskandar berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 di mana bagi individu boleh dikenakan penalti RM250,000 atau tiga tahun penjara manakala syarikat boleh dikenakan penalti RM500,000.

"Bagi kesalahan Perakuan dan Penandaan Halal (PPD) 2011 pula, individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara manakala syarikat boleh didenda RM200,000.

"Sementara bagi Kesalahan PPD (Takrif Halal) 2011 pula individu boleh didenda RM1 juta atau tiga tahun penjara manakala syarikat dikenakan denda RM5 juta," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, terdapat sindiket yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula dengan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor Bahru.

Susulan itu, Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Muhammed Farhan Basheer mendesak kerajaan menyiasat secara bersepadu pendedahan wujud kartel yang terbabit dalam penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara.

Dalam serbuan di sebuah gudang di Senai itu, sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta telah disita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 4:23 PM