DEWAN Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
DEWAN Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Keputusan itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, selepas diputuskan menerusi undian belah bahagi dengan 109 menyokong, 94 tidak menyokong manakala dan 17 lagi tidak hadir.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggulung perbahasan di peringkat kementeriannya.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM23.32 juta untuk membiayai kos guaman dan perbicaraan tragedi MH17.

Menurutnya, jumlah itu adalah 30 peratus yang dibiayai Malaysia dalam usaha mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Katanya, proses mahkamah sedang berjalan dengan kerjasama Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dari segi teknikal dan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) untuk elemen jenayah.

"Kedua-dua ini sebenarnya dalam proses mahkamah dan tujuan kita untuk membelanjakan kos ini kerana ini pesawat Malaysia. Kita nak pastikan mereka ini dituduh ke muka pengadilan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya melanjutkan usia kenderaan setahun lagi kepada pengusaha teksi bagi membolehkan mereka mencari pendapatan.

Ia akan membantu meringankan beban pemilik kenderaan untuk mencari pendapatan menerusi pengangkutan awam.s

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 2:48 PM