SAARANI MOHAMAD
SAARANI MOHAMAD
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: Umno Perak menafikan ada menawarkan sebarang jawatan kepada parti lain yang mahu membentuk kerajaan bersamanya ketika krisis politik susulan usul percaya terhadap Menteri Besar, minggu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, tiada juga janji dibuat kepada PKR mahupun Parti Amanah Negara (Amanah) untuk jawatan Exco, sebelum pelantikannya sebagai Menteri Besar, Khamis lalu.

Katanya, dakwaan DAP mengenai adanya tawaran sedemikian tidak sepatutnya wujud atau dipertikaikan kerana semua pemimpin parti negeri mengadakan perbincangan untuk mengelak kerajaan 'tergantung' ketika itu.

"Kita (Umno) tiada apa-apa tawaran atau janji (jawatan Exco) sebab ketika itu semua parti datang berbincang bagi mengelakkan 'hung government' (kerajaan tergantung). Semua (pemimpin) parti faham dan bersetuju 'hung government' tidak boleh ada.

"Cuma kalau nak tubuhkan kerajaan dengan siapa, itu bergantung kepada persefahamanlah. Katalah walau DAP yang bersama kita tubuhkan kerajaan (negeri), takkanlah hendak nafikan hak mereka menuntut jawatan Exco.

"Namun perkara itu tidak berlaku (tawarkan jawatan). Begitu juga, semua parti lain sepatutnya faham perkara ini (jawatan Exco) bukanlah satu imbuhan atau umpan, sebaliknya ia hak parti masing-masing untuk menuntut sekiranya mereka bersama Umno membentuk kerajaan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis kesyukuran anjuran Umno sempena pelantikannya sebagai Menteri Besar Perak di Dewan Kompleks Komuniti Desa Kemas di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Ditanya sama ada pentadbirannya bercadang membuka siasatan dakwaan salah laku pentadbiran terdahulu, Saarani berkata, beliau ingin fokus kepada usaha membangunkan negeri terlebih dahulu, tidak mahu mencampur adukkan perkara lain dan bersangka baik.

"Jika terdapat sebarang kesalahan atau salah laku yang dilakukan sesiapa pun termasuk saya, kita serahkan kepada pihak berwajib terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Min dilapor mendakwa berlaku penawaran jawatan Exco oleh Umno kepada Amanah dan PKR sekiranya sedia membentuk kerajaan bersama tanpa pembabitan DAP.

Dakwanya, tawaran itu berlaku ketika Pas dan Bersatu belum memberikan kata putus membentuk kerajaan negeri Perak bersama Umno, selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Disember.

Ahmad Faizal sebelum itu gagal memperoleh sokongan majoriti Adun bagi usul 'keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar' yang dibawakan di Persidangan DUN pada 4 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 10:21 PM