DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kiri) mendengar taklimat mengenai produk perabut keluaran HeveaPac daripada Pengarah Eksekutif HeveaPac, Peh Ju Chai.  FOTO Mohd Amin Jalil
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kiri) mendengar taklimat mengenai produk perabut keluaran HeveaPac daripada Pengarah Eksekutif HeveaPac, Peh Ju Chai. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Majoriti rakyat diyakini bersetuju dan memberikan sokongan terhadap langkah kerajaan mengisytiharkan darurat bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya mendapati rakyat memberikan sokongan terhadap usaha itu selepas berlaku peningkatan kes Covid-19.

"Saya yakin majoriti rakyat bersama kita dan kita dapat lihat apabila kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat, rakyat nampak happy (gembira).

"Jelas, rakyat menyokong apa yang dilakukan kerajaan. Kita berharap tindakan ini dapat meredakan situasi politik dan kita boleh fokus kepada pengurusan membantu memastikan kesihatan dan pemulihan ekonomi rakyat," katanya selepas melawat kilang perabot, HeveaPac Sdn Bhd (HeveaPac) di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut Senawang, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif HeveaPac, Peh Ju Chai.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, tindakan kerajaan melaksanakan perisytiharan darurat adalah pilihan terbaik dan mampu meredakan ketegangan politik.

"Perisytiharan darurat itu dapat membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19.

"Memang politik ini tidak pernah kendur, tapi kita kena buat kerja dan kerajaan PN nak pastikan keselamatan kesihatan dan ekonomi rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:28 PM