Seramai 56 Pati  ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) awal pagi semalam. FOTO IHSAN POLIS
Seramai 56 Pati ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) awal pagi semalam. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Meskipun negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bukan penghalang buat 56 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia untuk menyeludup masuk secara haram.

Semua individu terbabit yang terdiri daripada 34 lelaki, 21 perempuan dan seorang kanak-kanak dikatakan cuba memasuki negara ini dengan menaiki sebuah tongkang pada 3 pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Unit Tindakan Khas (UTK) sebelum ditahan di perairan Pantai Jeram, di sini.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, ketika rondaan Op Benteng Covid-19, pihaknya mengesan tongkang yang mencurigakan di perairan pantai terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui 56 Pati warga Indonesia di dalam tongkang terbabit.

"Kesemua mereka dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta AntiPemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 9:25 AM