TWITTER (gambar fail).  FOTO AFP
TWITTER (gambar fail). FOTO AFP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di Akaun Rasmi Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), hari ini.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), KKMM dan dianggotai oleh empat orang ahli Jawatankuasa.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dengan terperinci bermula esok mengenai isu ciapan tidak senonoh akaun Twitter SKMM bagi mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak terbabit serta kemungkinan wujudnya unsur penyalahgunaan atau penyelewengan.

"Jawatankuasa ini juga akan mengesyorkan tindakan yang bersesuaian, antaranya tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau tindakan sivil di mahkamah terhadap pihak yang terbabit sekiranya wujud kecuaian atau salah laku dalam isu ini.

"Langkah-langkah penambahbaikan juga akan dicadangkan bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan akan dilaksanakan secara telus dan laporan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersama-sama syor untuk tindakan selanjutnya dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 8:11 PM