X
SEEKOR kucing batu mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Bongek-Gadong Rembau. FOTO IHSAN PEMBACA
SEEKOR kucing batu mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Bongek-Gadong Rembau. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Amin Jalil


Rembau: Bangkai binatang mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Bongek - Gadong menghala Gunung Datuk di sini, yang disangka anak harimau, disahkan sebagai kucing batu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya sudah mengambil bangkai haiwan malang itu selepas dimaklumkan orang awam pada jam 7.20 pagi, hari ini.

Katanya, kucing batu atau nama saintifiknya, Prionailurus Bengalensis adalah haiwan dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. serta diancam kepupusan.

"Bangkai kucing batu itu seberat 600 gram ditemui di atas jalan raya, namun dalam keadaan baik. Ia mungkin mati disebabkan kecederaan dalaman selepas dilanggar.

"Anggota sudah mengambil bangkai itu dan dibawa ke jabatan untuk penilaian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mat berkata, habitat kucing batu lazimnya di pinggir dan dalam hutan selain kawasan kelapa sawit, manakala lokasi kemalangan pula adalah kawasan ladang sawit dan berpaya serta tidak jauh daripada penempatan penduduk.

"Saya percaya mungkin binatang itu mencari makanan. Kita harap pemandu dan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan berwaspada ketika melalui lokasi sebegini.

"Mereka yang menemui hidupan liar yang cedera atau mati diharap dapat memaklumkan kepada Perhilitan, segera," katanya yang melarang orang awam mengambil hidupan dilindungi walaupun bangkainya. kerana ia kesalahan di bawah akta sama.

Terdahulu, gambar binatang malang itu tular di media sosial yang disangka anak harimau mati dilanggar kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 3:24 PM