Shafie menunjukkan gambar anaknya menerima rawatan di Hospital Taiping dan (gambar kecil) kerana yang mengigit Dhiya Sofia di Kuala Sepetang, kelmarin. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Shafie menunjukkan gambar anaknya menerima rawatan di Hospital Taiping dan (gambar kecil) kerana yang mengigit Dhiya Sofia di Kuala Sepetang, kelmarin. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun luka di betis kiri akibat digigit seekor kera yang terlepas dari sangkar milik jirannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang di sini, kelmarin.

Kejadian pada 1.30 tengah hari itu menyebabkan Dhiya Sofia Mohamad Shafie terpaksa menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping dengan menjalani pembedahan bagi menjahit luka hingga menampakkan bahagian tulangnya.

Bapa mangsa, Mohamad Shafie Embi, 52, berkata, kejadian berlaku ketika anak kedua dari tiga beradik itu dalam perjalanan pulang dari kedai berdekatan rumah mereka di kampung itu bersama seorang lagi anak saudaranya.

Menurutnya, mereka berdua dikatakan berlari pulang sejurus ternampak kera berkenaan di pertengahan perjalanan menyebabkan haiwan terbabit mengejarnya.

"Bagaimanapun, hanya anak saya yang diterkam kera itu disebabkan terjatuh ketika berlari. Nasib baik ada beberapa orang kampung termasuk adik ipar saya yang menyaksikan insiden itu dan terus mengusir kera berkenaan.

"Dengan usia dan fizikalnya yang kecil, anak saya boleh maut dalam insiden seperti itu jika tiada sesiapa yang sempat membantu dan ketika kejadian saya keluar menangkap ikan di laut," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamad Shafie berkata, kecederaan dialami Dhiya Sofia menyebabkan kanak-kanak itu masih tidak dapat berjalan selain tidak dapat tidur seperti biasa sebaliknya perlu tidur dalam keadaan duduk di kerusi.

"Walaupun luka yang dialami anak saya agak dalam, doktor yang merawatnya memberitahu anak saya bernasib baik kerana gigitan kera berkenaan tidak sampai mengenai bahagian tulang selain memberitahu kecederaan itu tidak memerlukan pembedahan susulan," katanya.

Menurutnya, anaknya sudah dibenarkan keluar wad selepas ditempatkan semalaman di hospital dan kini dalam jagaan ibunya yang menetap sementara di rumah adiknya di Taman Kaya, Simpang di sini.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak membuat laporan polis mengenainya walaupun mengakui kejadian itu berlaku kecuaian.

"Selain hidup susah, jiran saya itu pun tidak sangka kera berkenaan boleh terlepas daripada sangkarnya. Dia juga sudah mohon maaf dan saya maafkan kerana kami sudah lama berkawan.

"Kera itu juga berjaya ditangkap semula sebelum dilepaskan ke hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 5:32 PM