Dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di Kampung Kilim, Langkawi. Foto Ihsan PDRM
Dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di Kampung Kilim, Langkawi. Foto Ihsan PDRM
Hamzah Osman

Langkawi: Lelaki disyaki tokan dadah ditahan polis bersama 30.10 gram (g) heroin dan syabu di Kampung Kilim di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan dalam Op Tapis pada 12.15 tengah malam.

"Berdasarkan maklumat awam, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menyerbu rumah yang didiami suspek.

"Pemeriksaan lanjut menemui masing-masing enam paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 25.70 g dan syabu sebanyak 4.40 g," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shariman berkata, semakan mendapati suspek yang berasal dari Kuala Kedah itu memiliki tiga rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:02 PM