Pihak polis menjalankan siasatan terhadap lelaki yang berlegar-legar di R&R Bukit Gantang. FOTO Ihsan Pembaca
Pihak polis menjalankan siasatan terhadap lelaki yang berlegar-legar di R&R Bukit Gantang. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Lelaki didakwa merayau-rayau di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, di sini, yang tular di media sosial, hari ini dikenal pasti sebagai warga tempatan bukan warga Bangladesh.

Malah, dakwaan mengatakan lelaki berusia 53 tahun berkenaan turut memakai gelang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti video yang tular juga tidak benar.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota unit peronda lebuh raya mengenai kehadiran lelaki itu pada 10.50 pagi hari ini.

Menurutnya, lelaki itu dikatakan merayau-rayau dan menimbulkan kebimbangan pekerja kedai makan di hentian terbabit.

"Hasil soal siasat mendapati lelaki berasal dari Padang Rengas, Kuala Kangsar, dan tinggal bersama seorang kakaknya di Ipoh sebenarnya tersesat jalan.

"Berdasarkan percakapannya, dia mendakwa dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah untuk mencari kerja dan menumpang sebuah lori.

"Namun ketika berada di R&R itu, lelaki berkenaan merayau-rayau dan menimbulkan kebimbangan kepada pekerja di situ," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, pihaknya kemudian menghantar lelaki itu ke Stesen Bas Kamunting dan membelikannya tiket bas untuk pulang semula ke rumah kakaknya di Ipoh.

Katanya, polis turut kesal apabila video kejadian dirakam pihak tidak bertanggungjawab yang kemudiannya memanipulasikan cerita sehingga tular di media sosial.

"Kita menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak pasti sehingga boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan orang ramai sedangkan ia tidak benar.

"Mereka yang berkongsi berita palsu menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:10 PM