FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kumpulan pertama di kalangan rakyat Malaysia akan menerima vaksin Covid-19 pada awal Mac depan sebaik bekalan diterima dari pengeluar penghujung Februari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehingga tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

Menurutnya, tempoh itu dapat meliputi lebih daripada 80 peratus atau kira-kira 27 juta rakyat Malaysia menjelang suku pertama 2022.

"Kerajaan menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga agensi lain yang terbabit.

"Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutama kepada petugas kesihatan," katanya dalam pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), hari ini.

Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sudah membuat keputusan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil golongan yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas penghujung bulan ini dengan peruntukan tambahan RM150 juta.

Menurutnya, penambahan kakitangan kesihatan itu terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

"Pemberian 'one-off' sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.

"Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak Covid-19 berakhir," katanya.

Beliau berkata, hospital swasta juga sudah bersetuju untuk menerima serta merawat pesakit dan bukan pesakit Covid-19 bagi meringankan beban tekanan kepada sistem kesihatan awam dengan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, katanya, bagi mengurangkan kebimbangan rakyat berhubung jangkitan dalam kalangan pekerja pembinaan warga asing, prosedur operasi standard (SOP) bagi pembinaan bangunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap dan mengehadkan pekerjanya ke tapak pembinaan.

"Majikan disarankan memperketatkan amalan SOP, menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi membendung penularan Covid-19.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut terbabit dalam pelaksanaan Program Ujian Saringan Covid-19 ke atas pekerja asing yang berdaftar dan dari 1 Disember 2020 hingga 17 Januari, pekerja asing yang sudah menjalani ujian saringan adalah seramai 160,982 orang.

"Untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan Covid-19 secara persendirian, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan pada Belanjawan 2021 kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:52 PM