ANGGOTA Unit Udara JBPM menjalankan SAR menerusi udara untuk mengesan dua nelayan dilaporkan hilang. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA Unit Udara JBPM menjalankan SAR menerusi udara untuk mengesan dua nelayan dilaporkan hilang. FOTO ihsan bomba.
Amir Mamat


Melaka: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan dari Jeti Nelayan Padang Temu, di sini, hari ini diteruskan dengan pencarian menerusi udara.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menggunakan khidmat helikopter Unit Udara jabatan itu yang berpangkalan di Subang, Selangor berkenaan bagi mengesan bot nelayan terbabit sama ada hanyut di perairan Selat Melaka atau perairan antarabangsa.

Timbalan Pengarah JBPM Melaka, R Saiful Iswandi berkata, bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk ditemui menerusi tinjauan udara selama 25 minit itu dan pihaknya memperluaskan lagi operasi ke kawasan empat batu nautika dari kawasan Pulau Besar dan Pulau Undan.

"Berdasarkan keadaan cuaca, angin agak kuat, kira-kira 35 knot dan ia mengganggu sedikit operasi pencarian," katanya yang ditemui di Jeti Nelayan Padang Temu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi pada hari kedua itu, pihaknya menggerakkan 50 pegawai dan anggota dan turut dibantu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Jeti Nelayan Padang Temu sejak empat hari lalu dikhuatiri hanyut berhampiran Pulau Undan, di sini, semalam.

Ahmad Norizan, 38, dan Irwan Radjab, 47 hilang ketika keluar memancing sejak Ahad lalu.

Susulan itu, JBPM menerusi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) daerah Melaka Tengah bersama APMM dan JLM melancarkan SAR selepas menerima pada 11.26 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, radius pencarian dua nelayan terbabit diperluaskan kepada 36 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu.

Beliau berkata, operasi pencarian diperluaskan ke Pulau Undan dengan keseluruhan kawasan pencarian meliputi 36 batu nautika.

Menurutnya, menerusi bantuan Unit Udara JBPM sehingga 3 petang, belum ada petunjuk jelas mahupun objek ditemui di kawasan perairan operasi.

"Polis turut merakam percakapan beberapa saksi yang memaklumkan terserempak dengan kedua-dua mangsa, Rabu lalu.

"Saksi pertama memberitahu terserempak dengan mangsa di perairan ketika bot mangsa dalam perjalanan ke arah berbeza iaitu ke arah Pulau Undan pada 10 pagi.

"Manakala saksi kedua memaklumkan ternampak sebuah bot di Pulau Undan hari sama (Rabu) namun tidak melihat kelibat manusia di atas bot itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:46 PM