X
KAPAL kapal pelantar minyak M V Setia Kilas dilaporkan tenggelam di muara Kuala Terengganu hari ini. FOTO Bernama
KAPAL kapal pelantar minyak M V Setia Kilas dilaporkan tenggelam di muara Kuala Terengganu hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Sebuah kapal pelantar minyak M V Setia Kilas dilaporkan tenggelam di muara Kuala Terengganu, 11 pagi hari ini setelah hanyut dan merempuh pemecah ombak.

Pengarah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebelum kejadian, kapal itu sedang menjalankan ujian jentera, namun mengalami masalah apabila enjin gagal berfungsi.

"Maritim Negeri Terengganu menerima laporan daripada Maritime Sub Rescue Centre (MRSC) Kuantan berkaitan insiden kecemasan sebuah kapal pelantar yang mengalami kerosakan jentera utama hanyut ke pemecah ombak dan hampir karam di muara Kuala Terengganu.

"Kapal itu menjalani ujian jentera di laut dengan dikendalikan tujuh kru serta tiga kontraktor. Setelah selesai ujian jentera, kapal itu mengalami kerosakan jentera semasa dalam perjalanan masuk ke muara dan dibawa ombak rapat ke pemecah ombak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot Penggalang 17 dari Martim Terengganu ditugaskan ke lokasi kejadian dan mendapati semua kru dan penumpang selamat dengan terjun ke atas daratan terhampir untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, kapal itu tidak dapat diselamatkan dan karam di lokasi kejadian.

Sementara itu, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menubuhkan satu pasukan untuk melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Jabatan Alam Sekitar dimaklumkan bagi menangani isu sekiranya berlaku tumpahan minyak di kawasan itu.

"Pemilik kapal sudah dihubungi untuk mengambil tindakan bagi proses pengalihan kapal itu.

"Selain itu, pekeliling pelabuhan akan dikeluarkan untuk memaklumkan kepada agensi perkapalan dan kapal supaya lebih berhati-hati untuk melalui kawasan sama," demikian kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 10:08 PM