Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang banduan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memasukkan botol budu ke dalam dubur banduan lain dalam kejadian di Penjara Pengkalan Chepa di sini, Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Nor Ashmadian Satar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seksual kepada seorang lelaki berusia 32 tahun dengan memasukkan botol plastik ke dalam dubur tanpa kerelaannya, di sebuah bilik di Penjara Pengkalan Chepa, pada 5 petang pada 30 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 2:24 PM