Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang sebelum ini disahkan positif Covid-19, kini sedang menjalani rawatan serta kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataannya tadi, berkata, tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan yang stabil ketika ini.

Sehubungan itu sebarang perkembangan yang sahih dan rasmi berkaitan tahap kesihatan menterinya, hanya akan dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

"Pejabat Menteri Dalam Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan YB Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Sehubungan itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri memohon semua pihak untuk terus mendoakan kesembuhan kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Sebarang perkembangan berkaitan tahap kesihatan YB Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sahih dan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Dalam Negeri," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan bahawa Hamzah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan keadaan kesihatannya yang merosot.

Mesej yang berbentuk poster itu mulai tular semalam melalui media sosial, dengan menggunakan logo sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, apabila semakan dibuat di Facebook dan Instagram serta Twitter NGO berkenaan tidak menemui poster sama seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:26 PM