Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Cubaan seorang lelaki membawa 1.5 tan daun ketum menggunakan lori tiga tan ke Seremban, Negeri Sembilan gagal apabila dia ditahan polis di Kampung Tong Prok, Mukim Padang Kerbau, di sini, semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan jam 12.45 pagi itu oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Kubur Panjang yang melakukan rondaan cegah jenayah selepas mendapati lori itu dipandunya dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan dalam lori itu menemui 80 karung plastik mengandungi daun ketum.

Beliau berkata, lelaki itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas ekspres namun diberhentikan berikutan penularan Covid-19.

Katanya, lelaki itu kemudian menyewa lori itu pada harga RM2,500 sebulan menggunakan wang pengeluaran i-Sinar.

"Suspek dipercayai diupah oleh seorang lelaki untuk membawa daun ketum itu ke Negeri Sembilan dengan bayaran RM2,000 untuk satu trip perjalanan.

"Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu sanggup melakukan kegiatan itu seorang diri dan membawa daun ketum berkenaan dari Padang Terap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, di sini hari ini.

Arriz Sham berkata, modus operandi dilakukan suspek adalah menggunakan jalan kampung untuk mengelak ditahan disebabkan bimbang kegiatannya dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek melakukan kegiatan itu buat pertama kali dan menyewa lori itu pada 9 Januari lalu sebaik memperoleh wang i-Sinar.

Katanya, jumlah keseluruhan daun ketum dirampas sebanyak RM22,000.

"Suspek berasal dari Sungai Petani itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan dan direman empat hari bermula semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Arriz Sham berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pemilik lori berkenaan dan kenderaan itu dipercayai disewa di Perlis.

Arriz Sham (kanan) bersama pegawainya melihat daun ketum yang dirampas di IPD Pendang. FOTO Amran Hamid
Arriz Sham (kanan) bersama pegawainya melihat daun ketum yang dirampas di IPD Pendang. FOTO Amran Hamid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:33 PM