Muhammad Fattah menunjukkan baki minyak masak paket di kedainya di pekan Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Muhammad Fattah menunjukkan baki minyak masak paket di kedainya di pekan Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna (KPDNHEP) Melaka mengenal pasti peningkatan permintaan minyak masak paket 1 kilogram (kg) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu sebagai faktor kekurangan bekalan itu.

Pengarahnya, Norena Jaafar menjelaskan, pengguna membeli minyak 1 kg dalam jumlah yang banyak dua hari sebelum PKP dilaksanakan bagi memastikan mereka memiliki minyak masak mencukupi sepanjang tempoh PKP.

"Ia menyebabkan bekalan berkurangan di kebanyakan pasar raya di Bandaraya Melaka dan kawasan lain.

"PKP menyebabkan kebanyakan anggota komuniti yang duduk di rumah dan memasak untuk anggota keluarga selain peniaga membeli dalam jumlah yang banyak. Ini mendorong bekalan berkurangan," katanya melalui aplikasi Whatsapp tadi.

Bagaimanapun, kementerian sudah mengarahkan syarikat pembungkus minyak masak yang menerima subsidi kerajaan supaya meningkatkan pengeluaran pada tahap 100 peratus.

Ia penting bagi memastikan kekurangan bekalan mampu diatasi segera, sekali gus mengelakkan pembelian panik oleh pengguna yang bimbang tidak memperoleh bekalan akibat persaingan untuk mendapatkannya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di pekan ini, Muhammad Fattah Amirullah, 21, berkata bahan masakan itu dikesan habis dengan cepat dua hari sebelum PKP dilaksanakan.

Beliau menjelaskan, selain mendapatkan bekalan daripada beberapa syarikat pembekal, beliau juga meminta setiap pelanggan supaya tidak membeli lebih daripada dua paket bagi mengelakkan hanya pelanggan yang sama mendapat bahan masakan itu.

"Alhamdulillah, mereka memahaminya dan ia memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk mendapatkannya," katanya.

Beliau berkata, ada pelanggan tetap yang sebelum ini sering mendapatkan minyak masak paket, terpaksa beralih kepada minyak masak botol yang lebih tinggi harganya selepas gagal mendapatkan minyak berharga RM2.50 sepaket.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:43 PM