Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di KL Sentral.
Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di KL Sentral.
Hajar Umira


Kuala Lumpur: Beberapa perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara negeri dan bandar dikurangkan secara berperingkat susulan peningkatan wabak Covid-19 sejak Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), pengurangan itu membabitkan dua fasa sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

"Pada fasa pertama, 12 perkhidmatan ETS akan beroperasi setiap hari mulai 16 Januari sehingga 20 Januari (hari ini) berbanding 24 perkhidmatan sebelum ini antara sektor Gemas-Padang Besar,

"Bagi fasa kedua, hanya empat perkhidmatan ETS akan beroperasi di sektor sama mulai 21 Januari (esok) sehingga 26 Januari 2021 berbanding 12 perkhidmatan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zain berkata, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan digantung sementara sehingga tamat perintah berkenaan.

"Mulai Sabtu lalu sehingga 26 Januari ini, hanya 10 perkhidmatan Shuttle Timuran bagi sektor Kuala Lipis-Tumpat dibenarkan beroperasi pada setiap hari," katanya.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, sebanyak 112 perkhidmatan komuter beroperasi pada hari biasa dengan 60 perkhidmatan beroperasi bagi sektor Lembah Klang pada hujung minggu dan cuti umum.

Menurutnya, komuter Utara tidak mengalami sebarang perubahan, dan perkhidmatan akan beroperasi seperti biasa menggunakan jadual waktu sedia ada.

"Perkhidmatan beberapa tren perlu diteruskan dengan mengambil kira keperluan khusus, termasuk penghantaran bahan-bahan perubatan dan makanan serta pergerakan kakitangan pelbagai perkhidmatan penting yang terbabit dalma penguatkuasaan PKP ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:51 PM