GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Seorang anggota polis antara empat individu yang ditahan dalam serbuan ke atas dua sindiket pengedaran dadah, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, anggota polis berusia 39 tahun itu ditahan bersama seorang suspek berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, pada jam 1 tengah hari.

Katanya, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis berjaya menemui dadah jenis syabu seberat lebih tiga kilogram bernilai RM128,770 dan 21 paket serbuk ekstasi seberat 531 gram bernilai RM10,500.

"Semasa serbuan dilakukan, suspek (anggota polis) didapati sedang memegang satu kotak manakala suspek kedua berada di luar kaunter pendaftaran.

"Suspek kedua cuba melarikan diri ke arah sebuah kenderaan yang berada di tepi bangunan namun berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmirol berkata, seorang anggota polis yang terbabit dalam serbuan itu cedera dilanggar oleh suspek dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Selain itu, katanya, kedua-dua suspek juga didapati positif methamphetamine dan kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dihukum mati, akan disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Sementara itu, Jasmirol berkata, dua lagi suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Stakan Jaya Light Industrial, Jalan Stakan pada jam 12 tengah hari.

Katanya, polis berjaya merampas sebanyak 18 paket mengandungi 657.40 gram serbuk campuran ekstasi dianggarkan bernilai RM9,000, 8.10 gram ketamin (RM1,215), 90 pil ekstasi (RM2,700) dan 15 pil erimin 5 (RM225).

Menurutnya, sebuah pacuan empat roda, dua cincin emas, seutas rantai emas termasuk wang tunai sebanyak RM899 daripada kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu turut dirampas.

"Kedua-dua suspek juga didapati positif methamphetamine dan direman selama enam hari hingga 26 Januari ini," katanya.

Jasmirol berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dihukum mati, akan disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 8:29 PM