SIASATAN awal mendapati operator kuari melakukan pelanggaran syarat EIA yang ditetapkan. FOTO Arkib NSTP
SIASATAN awal mendapati operator kuari melakukan pelanggaran syarat EIA yang ditetapkan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dalam proses menyiapkan kertas siasatan untuk tindakan terhadap pihak yang melakukan aktiviti kuari hingga menyebabkan kerosakan alam semula jadi di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, proses pendakwaan akan dibuat terhadap pihak berkenaan selepas kertas siasatan itu selesai dalam masa terdekat.

"Sebelum ini mereka (pegawai JAS dan agensi lain) ke lokasi setiap hari untuk melengkapkan kertas siasatan tetapi ketika ini ada sedikit kekangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"InsyaAllah akan diusahakan juga (menyiapkan kertas siasatan bagi tindakan lanjut dalam masa terdekat)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Mohd Akmal menafikan Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) musnah akibat aktiviti kuari sebaliknya ia adalah alur air bermusim yang muncul apabila berlaku hujan terutama ketika hujan lebat.

"Keadaan Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) yang dikatakan musnah akibat daripada aktiviti kuari sebenarnya masih terpelihara dan langsung tidak terjejas serta berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusaha hasil pengeluaran batu kuari iaitu berjarak satu kilometer dari tapak kuari.

"Kawasan terjejas yang tular di media sosial itu sebenarnya adalah alur air bermusim yang muncul apabila berlaku hujan terutama ketika hujan lebat sahaja, hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 ( Blok E) Hutan Simpan Segari Melintang," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan mesyuarat penyelarasan dan pemantauan, semalam, pihaknya mendapati, kawasan projek berkenaan mendapat kelulusan Lesen Kecil untuk pengeluaran batu-bata (pengkuarian) pada 2014.

Menurutnya, kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) pula diperolehi pada 2 Oktober 2017 dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan diluluskan pada 25 Oktober 2018, manakala Surat Kelulusan Skim Kuari (SKSK) dikeluarkan pada 1 Februari 2019.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, operator kuari melakukan pelanggaran syarat EIA yang ditetapkan, antaranya tiada pegawai alam sekitar atau Environment Officer (EO) bertauliah dilantik oleh operator kuari hingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan di tapak projek.

Katanya, Perintah Larangan dan Perintah Berhenti Kerja sudah dikeluarkan, kelmarin mengikut Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghalang operator kuari beroperasi serta merta.

Berita berkaitan

6 kesalahan dilakukan pengusaha kuari - Tuan Ibrahim

JAS ambil tindakan pihak cemar kawasan Air Terjun Tanjung Batu [METROTV]

SPRM tidak terima laporan aktiviti kuari

Aktiviti di Air Terjun Tanjung Batu dihentikan sementara

'Keindahan Air Terjun Tanjung Batu diancam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 1:18 PM