Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Susana suram di beberapa pasar utama di negeri ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula tengah malam tadi.

Tinjauan di Pasar Borong Gong Pauh, di sini, yang memulakan aktiviti perniagaan 6 pagi hingga 10 pagi mendapati suasana tidak seperti hari biasa.

Pengunjung yang hadir ke pasar itu untuk membeli pelbagai barangan utama didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.

Semua pengunjung ke pasar itu diambil suhu badan dan dicatatkan nama dan nombor telefon sebelum dibenarkan memasuki kawasan pasar.

Tinjauan juga mendapati hanya satu laluan masuk dan satu laluan keluar disediakan.

Beberapa pegawai dan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ditempatkan di pintu masuk utama ke dalam pasar dan lokasi jualan sayur, kedai runcit serta pasar basah dalam pasar berkenaan.

PENGUNJUNG mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka ketika membeli belah di pasar borong Kampung Gong Pauh. FOTO Baharom Bakar
PENGUNJUNG mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka ketika membeli belah di pasar borong Kampung Gong Pauh. FOTO Baharom Bakar

Bagaimanapun, tinjauan dilakukan di kawasan pasar ikan mendapati masih terdapat peniaga tidak memakai pelitup muka dengan cara yang betul.

Difahamkan, beberapa peniaga ikan dikenakan tindakan oleh pegawai dan anggota polis atas kesalahan tidak memakai pelitup muka seperti dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kaedah yang sama turut dilaksanakan di beberapa pasar lain termasuk pasar cabang tiga dan pasar kedai payang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 1:28 PM