PEMBINAAN terowong Kuantan sepanjang 2.86 km oleh Syarikat China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). FOTO Arkib NSTP
PEMBINAAN terowong Kuantan sepanjang 2.86 km oleh Syarikat China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuantan: Tahap kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi Seksyen B dari Dungun, Terengganu ke Mentakab, Pahang, adalah lebih baik daripada sasaran, selepas mencapai 7.03 peratus pada akhir Disember 2020 berbanding jadual asal 5.11 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada kerja-kerja pembinaan yang pantas di 94 lokasi dengan 58 daripadanya di Pahang, manakala selebihnya di Terengganu.

"Fokus utama kerja-kerja pembinaan dilakukan di sepanjang laluan utama Seksyen B sejauh 223 kilometer (km) termasuk kerja-kerja tanah, longkang pasang siap menegak (PVD), kerja-kerja pembentungan, terowong dan jambatan.

"Kerja-kerja pengalian untuk 'Terowong Kuantan' sepanjang 2.86km, yang mana sebahagian daripada Seksyen B, telah mencapai 950 meter atau 33.5 peratus daripada jarak keseluruhan," katanya di sini hari ini.

Norolazali melawat tapak 'Terowong Kuantan' itu pada Selasa lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri Pahang gembira dengan kemajuan semasa projek ECRL itu, dan percaya apabila siap kelak, ia akan dapat membantu meningkatkan pelaburan, mendorong aktiviti komersial, menambah peluang pekerjaan dan menarik lebih banyak aktiviti pelancongan di negeri Pahang.

Beliau berkata, kerja pembinaan itu juga akan berjalan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pahang yang bermula hari ini sehingga 4 Februari depan.

Sebagai contoh, Norolazali berkata pekerja atau kontraktor yang bergejala, akan diarahkan untuk meninggalkan kerja mereka dan menjalani ujian swab dengan segera.

"Selaras dengan cadangan daripada pihak berkuasa, pekerja juga dibahagikan kepada kumpulan. Amalan ini akan memastikan projek ini dapat diteruskan, jika ada mana-mana kumpulan yang dikehendaki menjalani kuarantin," katanya.

Norolazali menjelaskan yang kawasan mudah banjir di Pahang yang terbabit dengan jajaran ECRL, telah dikenal pasti di bawah laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan pereka infrastruktur landasan itu juga mengambil kira paras banjir bagi tempoh 100 tahun, pada reka bentuk mereka.

"Secara amnya, kesemua kawasan mudah banjir di mana ECRL dijangka akan lalu, direka untuk mempunyai jejambat bagi membantu aliran air, terutamanya ketika musim monsun bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan akibat hujan lebat atau banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 3:59 PM