MAIZATUL Nadirah bersama Fakrurrazi selepas majlis akad nikah di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. FOTO Ihsan Fazrul
MAIZATUL Nadirah bersama Fakrurrazi selepas majlis akad nikah di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. FOTO Ihsan Fazrul
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mereka sepatutnya disatukan pada 20 Februari depan namun mengambil keputusan mempercepatkan tarikh pernikahan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Maizatul Nadirah Muhammad Rozi, 20, sah menjadi milik Fakrurrazi Abdullah, 26, pada 10.40 pagi kelmarin selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.

Pasangan itu selamat dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu sambil ditemani ahli keluarga terdekat.

Bagaimanapun, bapa Maizatul Nadirah, Muhammad Rozi Yunus, 42, yang sepatutnya menjadi wali kepada anak bongsu daripada dua beradik itu hanya mampu menyaksikan pernikahan anaknya menerusi video kerana terikat dengan kerja di Johor

Menurut Maizatul Nadirah, dia dan suami yang sudah berkawan hampir empat tahun lalu pada mulanya memilih tarikh 20 Februari ini sebagai tarikh nikah.

"Kami sepakat mahu mempercepatkan tarikh nikah berikutan kes semakin tinggi sebelum ke pejabat agama seminggu yang lalu untuk membuat permohonan.

"Keluarga juga bersetuju mempercepatkan tarikh pernikahan dengan mengutamakan majlis akad manakala selebihnya akan diadakan apabila pandemik Covid-19 berakhir.

"Mujurlah kami cepat buat keputusan mempercepatkan majlis kerana tidak lama selepas membuat permohonan, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Baju untuk majlis nikah pun kami guna baju ketika majlis tunang kerana baju untuk majlis penikahan tidak dapat digunakan kerana beberapa faktor," katanya yang menjalankan perniagaan dalam talian.

Tambah Maizatul Nadirah lagi, walaupun sedih kerana bapanya tidak ada bersamanya pada hari bahagia, dia tetap bersyukur kerana insan istimewa itu menyaksikan majlis pernikahan mereka menerusi panggilan video.

"Sedih sebab ayah tak dapat balik, mujur ahli keluarga yang lain ada di sisi dan walaupun majlis kami hanya kecil-kecilan, ia tetap meninggalkan memori buat saya dan suami.

"Jika diikutkan kita mesti mahukan majlis pernikahan dan perkahwinan yang meriah namun pandemik Covid-19 ini memang banyak mengubah cara hidup kita.

"Persiapan untuk majlis sudah siap hampir 90 peratus namun kita tangguhkan dahulu dan jika keadaan kembali baik, insya-Allah, kita adakan majlis untuk meraikan keluarga dan rakan-rakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:42 PM