FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


Melaka: Seorang lelaki kerugian RM96,500 diperdaya individu menyamar sebagai 'Timbalan Pendakwa Raya' kononnya sebagai bayaran bagi membebaskan isterinya yang terbabit dalam kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 40-an mendakwa ditipu suspek yang mengaku sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya dengan meminta sejumlah wang bagi membolehkan isterinya yang kini ditahan di Penjara Sungai Udang, dibebaskan.

Katanya, susulan itu, mangsa membuat bayaran secara berperingkat kepada suspek.

"Isteri mangsa dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 di Mahkamah Seremban namun sehingga kini, isterinya masih ditahan di Penjara Sungai Udang dan masih dalam tempoh perbicaraan," katanya pada kenyataan hari ini.

Susulan itu, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis kerana isterinya masih belum dibebaskan sebagaimana dijanjikan suspek.

"Hasil siasatan mendapati, suspek dikenali sebagai Effendi Abdul Rahim, berusia 51 tahun, bukan bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

"Penama Nuraini Yusof, berusia 38 tahun pula adalah pemilik akaun bank yang digunakan suspek untuk urusan transaksi wang itu.

"Kami sedang mengesan Effendi yang beralamat terakhir di Apartment PKNS Kelumpuk Embun Mas, Kuala Lumpur manakala Nuraini pula beralamat di Jalan Bachik, Padang Temu di sini," katanya.

Maklumat berkaitan kedua-dua suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Mazatul Ayu Mazlan di talian 010-8200677.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:58 PM