BANTING peringatan Covid-19 yang dipasang MPK di 15 lokaliti di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
BANTING peringatan Covid-19 yang dipasang MPK di 15 lokaliti di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bertindak memasang 15 banting amaran berkaitan kes Covid-19 yang berlaku di daerah ini.

Banting tertera tulisan 'Awas lokasi ini ada kes Covid-19, anda mungkin mangsa seterusnya' mula dipasang Rabu lalu dan sekurang-kurangnya berada di lokasi terbabit selama tiga bulan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal berkata, tujuan utama MPK memasang banting berkenaan bukan untuk menakutkan masyarakat tetapi lebih kepada ingin mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, masyarakat yang berada di lokaliti terbabit tidak seharusnya memandang ringan terhadap wabak Covid-19 terutama apabila kerajaan bertindak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula semalam.

Katanya, MPK akan menambah banting ingatan berkenaan secara berperingkat mengikut kawasan wabak selepas dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kuantan.

"Kebanyakan kawasan wabak Covid-19 di daerah ini tertumpu di taman perumahan seperti Taman Seri Inderapura, Taman Inderapura Jaya, Bukit Rangin Perdana, Taman Gambang Damai, Taman Padang Permai dan Taman Sekilau Mewah.

"Turut terdapat kes di Bukit Gelugor Beserah, Taman Pelindung Height Beserah, Kota SAS, Bukit Rangin Aman, Taman Indera Sempurna, Kampung Darat Sekolah Beserah dan Kampung Sri Fajar," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak MPK turut memasang banyak banting peringatan di kawasan tumpuan supaya pengguna sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19 dan merebak kepada pihak lain.

Norkamawati berkata, sepanjang PKP ini penguatkuasaan terhadap premis perniagaan di daerah ini turut dilakukan secara bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya berharap masyarakat di daerah ini dapat terus mematuhi SOP dan duduk di rumah sekiranya tiada urusan bagi mengelak dijangkiti Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 4:30 PM