Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengambil inisiatif membuka makmal komputer bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahmad Razif berkata, makmal yang dilengkapi 30 komputer dengan kemudahan internet berkelajuan tinggi disediakan di Pejabat Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Seberang Takir.

"Perkhidmatan itu akan dibuka untuk kegunaan golongan sasar terutama pelajar yang tidak mempunyai kemudahan itu.

"Semua murid dan pelajar termasuk penuntut universiti boleh menggunakan makmal komputer itu untuk tujuan PdPR secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan barangan keperluan dan makanan kepada 140 petugas barisan hadapan kesihatan di lobi utama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Adun Seberang Takir itu menyerahkan barangan keperluan dan makanan kepada Timbalan Pengarah Perubatan HSNZ, Dr Dzawati Amalin Basemin.

Katanya, pihaknya akan melanjutkan operasi makmal bagi memberi peluang dan ruang kepada pelajar yang tidak mempunyai kemudahan untuk mengikuti PdPR.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau sanggup menggunakan keseluruhan gaji bulanannya bagi menyalurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan.

DATUK Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman (tengah)  menyampaikan bantuan kepada Frontliners di Perkarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) menyampaikan bantuan kepada Frontliners di Perkarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO Ghazali Kori

Katanya, bantuan berbentuk pelbagai barangan makanan dan minuman disalurkan itu sekurang-kurangnya mampu menyemarakkan semangat petugas kesihatan dalam mengekan penularan wabak Covid-19.

"Pegawai dan kakitangan kesihatan antara petugas barisan hadapan yang tidak boleh dipandang ringan dalam melaksanakan tugas menangani pandemik Covid-19, yang menunjukkan peningkatan setiap hari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:55 PM