ORANG ramai beratur untuk mengeluarkan wang Bantuan Rakyat Prihatin yang diberi oleh kerajaan di Bank Simpanan Nasional (BSN) pada April 2020. FOTO arkib NSTP
ORANG ramai beratur untuk mengeluarkan wang Bantuan Rakyat Prihatin yang diberi oleh kerajaan di Bank Simpanan Nasional (BSN) pada April 2020. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Koperasi Pendidikan Swasta Malaysia Berhad (KPSMB) meminta kerajaan menambah baik Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Prihatin Rakyat dengan memperkenalkan jumlah bantuan kewangan yang baharu dan bukan sekadar mempercepatkan bantuan sedia ada.

Pengerusinya, Datuk R Rajendran berkata, warga pendidik swasta yang terdiri daripada pengusaha institusi pendidikan serta kakitangan menyambut baik pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), baru-baru ini.

Katanya, namun begitu, terdapat beberapa inisiatif yang dilihat tidak jelas, mengelirukan serta perlu ada penambahbaikan yang lebih mampan supaya dapat membantu golongan yang benar-benar memerlukan lebih-lebih lagi ketika negara memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kita sedia maklum bahawa semua peruntukan terdahulu yang tertakluk di bawah pakej Kita Prihatin akan disalurkan kepada rakyat yang layak secara berperingkat.

"Namun, apa perlunya mengumumkan pakej Permai ini sekiranya tiada sebarang peruntukan yang baharu diperkenalkan di bawah inisiatif ini.

"Cepat atau lambat, kita tahu bahawa bayaran bantuan terbabit tetap akan diberikan.

"Adalah lebih rasional jika jumlah tertentu ditambah supaya rakyat tidak bergelut sewaktu PKP 2.0," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, kerajaan juga didapati tidak bertegas dalam arahan untuk melanjutkan moratorium seperti mana pengumuman tahun lalu dengan kelayakan kali ini dilihat lebih kepada bersasar dan bukannya secara menyeluruh.

Menurutnya, moratorium sepatutnya lebih jelas dan ditetapkan secara automatik seperti dulu untuk tempoh tiga atau enam bulan.

"Kerajaan tidak tegas dalam perkara ini dan sebab itulah kebanyakan bank juga seolah-olah 'berkira' untuk meluluskan bantuan ini.

"Ia tidak seharusnya diberikan secara bersasar, kerana semua golongan terkesan dengan impak Covid-19 dan PKP," katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk terus bekerjasama dengan industri telekomunikasi dengan peruntukan RM500 juta dalam pemberian data 1 Gigabit secara percuma juga dianggap tidak wajar kerana selain hanya menguntungkan syarikat telekomunikasi, capaian Internet bagi setiap pengguna kini untuk kadar terbabit adalah normal dan boleh diakses melalui data sedia ada.

"Jumlah RM500 juta itu lebih baik disalurkan kepada golongan peniaga kecil yang mahu berniaga serta pelajar yang bersungguh-sungguh mahu belajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka masing-masing.

"Golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga tidak menerima sebarang peruntukan khusus dalam Permai sedangkan PKS adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

"Walaupun ada dinyatakan bahawa Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan ditawarkan untuk PKS dalam kawasan PKP, namun bantuan ini sebenarnya lebih diberikan kepada golongan peniaga mikro.

"Ditambah pula dengan syarat kelulusannya yang ketat, ramai PKS gagal menepati kriteria untuk memohon bantuan ini.

"GKP ini sebenarnya lebih menjurus kepada kredit untuk mikro, bukan PKS seperti dinyatakan," katanya.

Pada masa sama, Rajendran turut menggesa supaya Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Perkeso diperhalusi semula dan ditambahbaik untuk satu tempoh yang lebih panjang disusuli dengan syarat kelayakan yang tidak begitu ketat.

Justeru, adalah penting bagi kerajaan untuk meneliti perkara yang dinyatakan bagi membantu dan meringankan beban golongan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 8:23 PM