Nagaikanni, sedang mengambil air. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Nagaikanni, sedang mengambil air. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya pasrah walaupun hidup serba kekurangan, mujur ada kabin untuk kami sekeluarga tinggal," kata K Nagaikanni, 43, ketika ditemui di kediamannya di Kampung India, Bukit Pelandok, Chuah.

Menurutnya, suaminya, C Jegan, 40, tidak bekerja dan mengalami sawan sejak beberapa tahun lalu.

" 11 tahun lalu kami sekeluarga pernah kemalangan dan suami cedera parah di kepala menyebabkan dia sering diserang sawan.

"Empat anak kami berusia dari 15 hingga 23, semuanya perempuan, dua masih bersekolah menengah dan yang sulung belajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur dalam bidang perhotelan," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa melakukan kerja berat seperti mengutip buah sawit yang sudah siap dipotong untuk mencari belanja dapur.

"Lega juga apabila anak saya yang sekolah menengah, tingkatan satu dan lima menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200.

"Cuma masalah saya ialah kabin ini tiada bekalan air dan elektrik tak ada, saya membuat sambungan dari rumah abang (berjiran) dengan bayaran RM50 sebulan.

"Masalah timbul apabila hujan turun kerana tidak dapat bekerja dan pada masa sama kabin kami bocor menyebabkan air masuk di celah dinding kabin. Bimbang juga kerana atap kabin mulai rosak dan reput," katanya.

Nagaikanni berkata, dia tak kisah melakukan kerja berat namun sedikit terkilan kerana kabin mereka tiada bilik air, tandas dan ruang dapur.

"Saya kasihan kepada anak-anak yang terpaksa mandi di tempat terbuka dan tidur di ruang yang sempit di dalam kabin ini malah di sini juga tempat masak dan makan sejak dua tahun tinggal di sini.

"Saya berharap agar mereka (anak-anak) dapat terus belajar dan mengubah kehidupan kami sekeluarga namun dalam keadaan sekarang musim pandemik Covid-19 semuanya menjadi sukar.

"Mereka terpaksa menggunakan telefon bimbit saya untuk belajar secara PdPR kerana itu sahaja yang kami ada. Terima kasih juga kepada MIC yang menyumbangkan sedikit belanja dan menyiapkan tempat mandi di sebelah kabin ini," katanya.

Dia juga berterima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang datang melawat dan menyumbang.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Port Dickson Datuk R Balakrisnan berkata, pihaknya sudah melawat dan menyampaikan sedikit sumbangan.

"Mereka perlu terus dibantu kerana ketua keluarga mereka masih sakit dan tidak mampu bekerja bagi menanggung kehidupan mereka enam beranak serta tinggal dalam sebuah kabin sejak dua tahun lalu.

"Pihak MIC juga membuat tempat mandi di sebelah kabin dengan menggunakan zing kerana mereka terpaksa mandi dalam keadaan terbuka. Keluarga ini akan terus kami pantau untuk dibantu bagi meringankan beban mereka sekeluarga," katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 7:47 PM