Rafiqah Dahali

Penampang: Kerajaan negeri akan berusaha membantu memberi kemudahan gajet kepada golongan murid dan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan bagi menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya memahami tidak semua ibu bapa mampu membeli gajet.

"Kita faham murid dan pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan mempunyai masalah ini, jadi kita akan fikirkan untuk memberi bantuan kepada mereka.

"Kita juga memahami keperluan rakyat khususnya murid dan pelajar sekolah yang mengalami masalah ini terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini di mana mereka tidak boleh datang ke sekolah dan belajar dari rumah.

"Oleh itu, usaha untuk memberi kemudahan seperti gajet kepada pelajar dan murid ini kita akan pertimbangkan serta kita akan fikirkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat," katanya ketika ditemui selepas meninjau tanah runtuh di Jalan Penampang-Tambunan, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, selain bantuan gajet, pelan infrastruktur digital menerusi Jaringan Digital Nasional (Jendela) bakal mempertingkatkan kelajuan Internet di negeri ini sebagai langkah membantu rakyat termasuk golongan murid dan pelajar menjalani sesi PdPR.

HAJIJI Noor (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah JKR Sabah, Ali Ahmad Hamid (dua dari kanan) ketika meninjau lokasi laluan runtuh akibat hujan lebat di Kilometer 45.7 Jalan Penampang-Tambunan. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
HAJIJI Noor (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah JKR Sabah, Ali Ahmad Hamid (dua dari kanan) ketika meninjau lokasi laluan runtuh akibat hujan lebat di Kilometer 45.7 Jalan Penampang-Tambunan. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.

"Kita mempunyai kira-kira RM2.5 bilion untuk mempertingkatkan komunikasi digital di Sabah.

"Terdapat kira-kira 2,000 menara telekomunikasi akan dinaik taraf dan kira-kira 400 menara baharu dibina dalan masa dua tahun," katanya.

Bagaimanapun Hajiji mengakui pelaksanaan PKP membuatkan status pelaksanaan Jendela di Sabah menjadi lambat namun apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan kelak, kerja pelaksanaan akan diteruskan semula.

Semalam, media melaporkan Inisiatif Cerdik yang akan menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah bakal dilaksanakan bermula Februari ini.

Inisiatif terbabit membabitkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Petronas.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh GLC dan GLIC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 2:06 PM