GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Seorang lelaki berumur 40 tahun ditahan selepas dipercayai menikam seorang warga emas berumur 73 tahun di kawasan parkir di Pasar Besar Kuantan, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang Datuk Othman Nanyan berkata, suspek terbabit ditahan sepasukan polis dari JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kuantandi tepi Jalan Besar, di sini pada jam 3.26 petang tadi.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun , suspek memiliki kad rawatan pesakit mental di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

"Dalam kes ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

"Kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, warga emas berumur 73 tahun bersama isterinya didatangi seorang lelaki di kawasan parkir Pasar Besar Kuantan pada 10.30 pagi, kelmarin.

Katanya, secara tiba-tiba lelaki tidak dikenali itu bertindak menikam mangsa menggunakan senjata dipercayai sebilah pisau di bahagian pinggang sebelah kanan.

"Mangsa pada awalnya mendapatkan rawatan di klinik Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang sebelum dipindahkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

"Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA disebabkan kecederaan serius.

"Siasatan di tempat kejadian juga menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 5:12 PM