Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pekerja khidmat penghantaran antara penyumbang kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang kekal tinggi direkodkan berbanding kenderaan lain sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sebanyak 418,237 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tahun lalu berbanding 567, 516 kes pada 2019.

"Tahun lalu kes kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 4,634 kes berbanding 6,167 kes pada 2019.

"Walaupun kes kemalangan jalan raya menurun tahun lalu, namun penunggang motosikal masih merekodkan kes kemalangan paling tinggi berbanding kenderaan lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

AZISMAN ketika sidang media khas Laporan Prestasi JSPT Tahun 2020 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA
AZISMAN ketika sidang media khas Laporan Prestasi JSPT Tahun 2020 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA

Azisman berkata, tahun lalu kes kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah sebanyak 3,118 kematian berbanding 2019 iaitu 3,959 kematian.

"67.3 peratus jumlah kematian tahun lalu disumbang oleh penunggang motosikal disebabkan sikap mereka termasuk pekerja khidmat penghantaran yang melanggar lampu isyarat menyebabkan kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal masih tinggi," katanya.

Azisman berkata, secara keseluruhannya berlaku penurunan kes kemalangan jalan raya disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19

Beliau berkata, kes kemalangan jalan raya mencatatkan penurunan sebanyak 26 peratus dalam tempoh PKP berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:18 PM