GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengesahkan seorang anggotanya positif Covid-19 manakala seorang lagi dikuarantin di rumah disebabkan kontak rapat.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, anggotanya yang berusia 20-an itu tidak dijangkiti sewaktu bertugas dan berkemungkinan dijangkiti di kawasan komuniti.

Beliau berkata, seorang lagi anggotanya pula dikuarantin kendiri di rumah kerana kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

"Nasihat saya kepada semua anggota APM di negeri ini supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pensanitasi tangan setiap masa.

"Malah, pejabat APM di setiap daerah sentiasa disanitasi supaya dapat mengelak penularan Covid-19," katanya yang ditemui ketika menerima sumbangan makanan daripada Menara Alor Setar, di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan termasuk APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Dalam pada itu, Awang Askandar berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk disalurkan kepada pasukan barisan hadapan yang berjuang ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, walaupun pihaknya terpaksa berdepan cabaran perubahan monsun timur laut serta banjir kilat, beliau kagum melihat kesungguhan anggotanya mengharungi tugas tanpa mengira waktu termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:31 PM