ANTARA rokok serta arak seludup yang dirampas dalam dua serbuan di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA rokok serta arak seludup yang dirampas dalam dua serbuan di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok serta arak seludup di Pulau Pinang dengan penahanan enam lelaki dalam dua serbuan di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, semalam.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya melakukan serbuan itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, semua suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 67 tahun serta merampas 184,800 batang rokok kretek tidak bercukai bernilai RM151,536 dan 1,632 tin bir tidak bercukai bernilai RM10,883 dan enam kereta bernilai RM40,000 serta wang tunai RM218,187 membabitkan jumlah keseluruhan rampasan RM448,756.

Asri berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya menahan seorang wanita warga emas berusia 63 tahun selepas menawarkan wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan untuk melepaskan tangkapan.

"Suspek wanita berkenaan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

"Bagi tangkapan enam lelaki berkenaan, tiga daripadanya ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, manakala tiga lagi suspek ditahan di lokap IPD Barat Daya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan, hari ini. .

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:06 PM