Mohd Khidir Zakaria


Mantin: "Saya reda dengan nasib diri dan pasrah dengan apa bakal berlaku selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap empat sejak enam tahun lalu, selain kanser perut" kata Rasila Begum Abdullah ketika ditemui di rumahnya di Taman Andalas, di sini, semalam.

Rasila Begum, 37, berkata, dia berkahwin dengan suaminya, Rehmatullah Muhammad Anwar, 48, berasal dari Pakistan sejak 15 tahun lalu dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Farhan Abdullah, 14, dan Muhammad Saad Abdullah, 12.

Menurutnya, anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mantin dan manakala anak sulung baru mendaftar di madrasah tahfiz di Beranang, Selangor.

Katanya, sebelum ini suaminya berniaga sendiri menjual pakaian, kopiah dan minyak wangi, tetapi sekarang bergantung kepada pendapatan kerja kampung mengambil upah memotong rumput dan pelbagai pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian.

"Doktor mengesan penyakit saya pada 2015 selepas terjatuh di rumah dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Doktor menyatakan saya sudah menghidap penyakit itu sejak lebih lima tahun iaitu sekitar 2010, tetapi baru dikesan lima tahun kemudian dan sudah terlambat kerana di tahap empat dan sukar dirawat kerana kuman sudah merebak di bahagian kaki kanan.

RASILA sedang diuruskan suaminya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Andalas, Mantin, Seremban. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
RASILA sedang diuruskan suaminya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Andalas, Mantin, Seremban. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

"Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, pada 2018 satu lagi penyakit dikesan iaitu kanser perut yang menyebabkan perut membengkak dan saya tidak lagi mampu bergerak, hanya terbaring di atas katil," katanya.

Rasila Begum berkata, dia hanya mampu terlantar dan melihat suami dan anak membantu menguruskan keluarga.

Katanya, hanya keajaiban boleh menyelamatkannya dan berterima kasih kepada kepada Lajnah Kebajikan Pas Negeri Sembilan yang menyumbang katil boleh laras dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang selalu datang menyumbang barangan dapur.

"Saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 dan Baitulmal sebanyak RM250 sebulan.

"Sudah pasti, ia tidak mencukupi apatah lagi sewa rumah RM300 sebulan, bil utiliti, belanja dua anak bersekolah serta perbelanjaan perubatan saya," katanya yang berhasrat dapat bertemu artis pujaan yang juga penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum menutup mata.

Orang ramai yang mahu meringankan beban mereka boleh menyumbang terus ke akaun Maybank 155087253923 atas nama Rasila Begum Abdullah atau menghubungi di talian 014-7119445.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 3:02 PM