KEADAAN bahagian yang terbakar apabila api sedang marak dan memusnahkan empat gerai di Pasar Besar Port Dickson. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN bahagian yang terbakar apabila api sedang marak dan memusnahkan empat gerai di Pasar Besar Port Dickson. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya dapat tahu gerai sayur di pasar terbakar sekitar 3.30 pagi selepas dihubungi rakan," kata peniaga sayur, V Sarasvathy, ketika ditemui di Pasar Besar Port Dickson, di sini, hari ini.

Sarasvathy, 57, berkata dia berniaga di pasar itu sejak 20 tahun lalu selepas mengambil alih perniagaan berkenaan daripada bapanya.

Menurutnya, dia terus bergegas dan sampai di pasar itu pada 4.30 pagi sebelum mendapati gerainya bersama tiga lagi lagi gerai berhampiran hangus.

"Memang saya kecewa kerana bergantung kepada perniagaan ini untuk mencari pendapatan dan pada masa sama menjaga ibu berusia 80 tahun.

"Kerugian dianggarkan RM7,000 kerana semua peralatan di gerai musnah dan tidak sempat diselamatkan termasuk sayur-sayuran.

"Saya tidak pasti punca kebakaran ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya dan menerima keadaan ini sebagai ujian buat saya," katanya.

Tinjauan mendapati, empat gerai di sebelah kiri pintu utama pasar itu rosak teruk akibat kebakaran itu manakala Pasukan Forensik Bomba melakukan siasatan termasuk menggunakan anjing pengesan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Mohammad Rosman Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.26 pagi.

Beliau berkata, pihaknya sempat menghalang api daripada merebak ke premis lain yang terletak terlalu rapat antara satu sama lain.

"Bomba mengambil masa 10 minit bagi memadamkan api dan api dapat dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian dan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 3:14 PM