Sibu: Klinik Perubatan Pesakit Luar di Klinik Pakar Hospital Sarikei, ditutup selama tiga bulan bermula 25 Januari bagi memberi tumpuan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), yang ditubuhkan di hospital itu.
Pegawai Perhubungan Awam Hospital Sarikei Athirah Abdullah berkata, PKRC itu diwujudkan bagi menempatkan dan memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 tahap satu dan dua.
"Tarikh operasi semula Klinik Perubatan Pesakit Luar akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Klinik Pakar Sakit Puan, Kanak-kanak, Orthopedic, Psikiatrik, Neuro, Pergigian, Mata, Farmasi dan Makmal, masih lagi beroperasi seperti biasa.
Orang awam yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian 084-653333 sambungan 1080 atau WhatsApp ke talian 019-9279281, untuk keterangan lanjut.