Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Polis masih mengumpul maklumat berhubung dakwaan penjenayah yang juga abang kepada Ketua Tentera Bangladesh, Jeneral Aziz Ahmed iaitu Anis bersembunyi di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk sama ada lelaki itu dikehendaki agensi polis antarabangsa (Interpol).

"Kita kena periksa dulu perkara ini, sama ada lelaki berkenaan masih ada di negara ini, dikehendaki oleh Interpol dan sebagainya," katanya pada BH, hari ini.

Terdahulu, portal Al Jazeera melaporkan Anis dan adiknya, Haris yang disabitkan dengan kesalahan membunuh mendapat perlindungan daripada Aziz.

Pendedahan mengenai tiga beradik itu turut dikaitkan dengan pengaruh kuasa Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

Anis dikatakan tinggal di Kuala Lumpur, selepas melarikan diri dari Bangladesh pada 2007, manakala Haris pergi ke Budapest, Hungary dan disyaki masih tinggal di sana menggunakan identiti nama Mohammad Hasan.

Aziz dipercayai berhubung dengan Anis dan Haris dari semasa ke semasa, walaupun dua lelaki itu diburu pihak berkuasa Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 10:47 PM