KEADAAN rumah yang diduduki secara percuma kepada keluarga asnaf ditinggalkan dalam keadaan kotor dan berbau busuk. FOTO IHSAN FB MAINJ
KEADAAN rumah yang diduduki secara percuma kepada keluarga asnaf ditinggalkan dalam keadaan kotor dan berbau busuk. FOTO IHSAN FB MAINJ
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kotor, berbau busuk dan banyak kerosakan. Itu keadaan sebuah rumah transit di Flat Taman Impian Skudai, di sini, yang ditinggalkan keluarga asnaf selepas diberi duduk secara percuma oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Ketua Penolong Pengarah MAINJ Khirul Nizam Mat Said berkata, keluarga asnaf bersama sembilan anak ini dibantu sejak 2015, ditempatkan di rumah transit yang dikendalikan bahagian Baitulmal MAINJ.

Namun, beliau berkata, sejak 2017 pihaknya menerima aduan daripada ketua blok dan jiran yang tidak selesa dengan tahap kebersihan keluarga ini.

"Sebelum keluarga asnaf ini diberikan tempat tinggal secara percuma mereka menandatangani polisi antaranya menjaga kebersihan dan keadaan rumah yang didiami.

"Apabila keluarga ini melanggar polisi kediaman, kami menasihati mereka. Pihak MAINJ tidak boleh menghalau asnaf kerana kami yang membantu mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Khirul Nizam, keluarga asnaf ini antara yang paling lama mendiami rumah transit di kawasan itu kerana keadaan keluarga terbabit yang mempunyai sembilan anak yang kecil dan masih bersekolah.

Katanya, setiap rumah transit yang diberi duduk secara percuma dan perlu diperbaharui kontrak setiap dua tahun.

"Kami akan buat mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa Majlis Zakat dan Fitrah MAINJ dan keluarga ini dapat kelulusan sambungan kontrak setiap tahun disebabkan keadaan dan tanggungan yang ramai.

"Sebelum ini, keadaan rumah yang mereka diami elok terjaga. Pihak kami mendapat makluman rumah itu kotor selepas aduan dibuat.

"Pada akhir 2019, kami dimaklumkan ketua blok terbabit bahawa keluarga asnaf ini tidak lagi duduk di rumah transit itu dan mereka meminta agar rumah dibersihkan kerana berbau terlalu busuk.

"Kami tidak boleh membuang barangan keluarga asnaf terbabit. Dan berusaha mencari keluarga ini, selepas hampir setahun mencari kami bertemu keluarga ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Sepuluh Plentong," katanya.

Jelas Khirul Nizam, pihaknya percaya keluarga itu telah meninggalkan rumah terbabit selepas tidak membayar bil air dan elektrik sehingga berlaku pemotongan bekalan utiliti itu.

Katanya, selepas bertemu dengan keluarga terbabit dan mereka memberi kebenaran, pihak MAINJ membuat kerja pembersihan.

"Apabila diperiksa rumah terbabit banyak kerosakan termasuk pintu, cat, tikar getah dan kemudahan lain.

"Selepas semuanya siap dibaik pulih, kami akan memberikan tempat transit itu secara percuma kepada asnaf lain yang layak," katanya.

Rumah transit ini di bawah bahagian Baitulmal untuk membenarkan asnaf yang layak mendiaminya dengan kos ditanggung MAINJ kecuali bil utiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 8:01 PM