Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Pengasas laman web dan aplikasi temu janji Sugarbook yang sebelum ini direman tujuh hari akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, Pengarah Pendakwaan Selangor bersetuju untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok pada 9 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimun dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki berusia 34 tahun itu direman tujuh hari bermula 18 Februari lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 372(1)(d) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suspek berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang, 17 Februari lalu di sebuah kondominium di ibu negara.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan reman dikemukakan pihak polis bagi membantu siasatan dakwaan laman itu digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Susulan itu, polis memohon semakan kehakiman sebelum Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Noorin Badaruddin membenarkan suspek direman selama tujuh hari.

Media melaporkan Sugarbook sebagai platform mencari teman di antara wanita muda atau 'sugar baby'dengan lelaki berusia dan berharta atau 'sugar daddy' menimbulkan kontroversi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 9:25 PM