utama

Sembilan jenazah nahas pesawat diserah pada waris esok

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Klang: Jenazah kesemua sembilan mangsa nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, kelmarin, akan diserahkan kepada waris, esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses mengenal pasti mayat semua mangsa terbabit sudah selesai hari ini.

"Mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bencana sebentar tadi dimaklumkan keputusan ujian DNA semua mangsa sudah diperoleh dan identiti mangsa dikenal pasti.

"Kita memutuskan untuk serahkan jenazah semua mangsa kepada waris bermula jam 9 pagi esok," katanya dalam sidang media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara itu kepada waris mangsa pada malam ini, bagi urusan tuntutan jenazah.

"Pegawai penyiasat akan menghubungi setiap waris untuk meminta mereka membuat laporan polis. Kita akan jelaskan bagaimana prosedur laporan itu untuk memudahkan proses serahan jenazah esok," katanya.

Katanya, jenazah mangsa akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, bagi disolatkan sebelum dibawa ke kawasan pengebumian masing-masing.

Terdahulu, jenazah pertama mangsa nahas pesawat dituntut ahli keluarga pada 9.30 pagi tadi.

Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Kedah.

Seramai 10 individu disahkan terkorban iaitu dua kru pesawat, enam penumpang dan dua orang awam.

Mangsa dikenalpasti adalah juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Enam penumpang pula adalah Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Datuk Seri Johari Harun; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Orang awam masing-masing pemandu kenderaan e-hailing, Sharipuddin Shaari dan penunggang motosikal yang juga penghantar makanan, Muhamad Hafiz.

Disiarkan pada: August 19, 2023 @ 11:06pm
d