mutakhir

Jenazah mangsa nahas pesawat diserahkan kepada keluarga pagi ini

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Klang: Van jenazah yang akan membawa sembilan mangsa nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, sudah berada di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Jenazah kesemua mangsa akan mula diserahkan kepada keluarga secara berperingkat bermula pagi ini.

Jenazah mangsa akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, bagi disolatkan sebelum dibawa ke kawasan pengebumian masing-masing.

Turut kelihatan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tiba di HTAR pagi ini.

Terdahulu, jenazah pertama mangsa nahas pesawat dituntut ahli keluarga pada 9.30 pagi semalam.

Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Kedah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semalam dilaporkan berkata, proses mengenal pasti mayat semua mangsa terbabit sudah selesai.

Disiarkan pada: August 20, 2023 @ 9:07am
d