mutakhir

Remaja lelaki ditemukan lemas di sungai

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Remaja lelaki ditemukan lemas di sungai berhampiran Jalan Bukit Idaman, Kampung Bukit Lenggong di sini, hari ini.

Mangsa Muhammad Danial Rizal Suardi, 15, diselamatkan orang awam namun disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, mangsa lemas ketika mandi di sungai yang terletak di kawasan rekreasi di lokasi terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 2.55 petang.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.

"Berdasarkan maklumat, seorang remaja lelaki disyaki lemas di sungai namun berjaya dibawa naik oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 28, 2023 @ 6:16pm
d