Permotoran

PSBWPKL gesa siasat tragedi Hattem

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL) berharap agar Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan jawatankuasa siasatan.

Menurut PSBWPKL, jawatankuasa berkenaan perlu untuk menyiasat kejadian yang berlaku di Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 selepas peserta, Hattem Rashidi maut selepas terbabit dalam kemalangan Ahad lalu.

"Bagi pihak persatuan, kami berharap agar pihak MAM dan KBS mewujudkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kejadian itu dan lebih mengutamakan faktor keselamatan agar di masa hadapan kejadian sebegini tidak berulang lagi," kata PSBWPKL dalam satu kenyataan.

Ujar PSBWPKL, mereka amat berdukacita dengan berita yang terlibat dalam kemalangan di Litar Pekan Speedway, Pahang.

"PSBWPKL selaku persatuan yang bertanggungjawab memperjuangkan hak dan kebajikan pelumba tempatan amat bersedih dengan ketentuan berkenaan.

"Kami bersedia menghulurkan bantuan serta sokongan kepada waris Allahyarham Hattem. Kami mendoakan agar roh Allahyarham Hattem dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang yang beriman dan beramal soleh, Aaminn Ya Rabbal Alaminn," kata PSBWPKL.

Semalam penganjur, kelab MUSC berkata mereka sudah mematuhi garis panduan yang ditetapkan KBS dan acara berkenaan tidak perlu mendapatkan kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan sanksi MAM.

Jelas MUSC penganjuran program sukan tempatan oleh Badan Sukan (Kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997) tidak perlu mendapatkan kelulusan PJS berkuatkuasa 10 April 2023.

Kemalangan membabitkan Allahyarham Hattem berlaku ketika sesi ujian latihan 'single run' sebelum hilang kawalan ke atas jenteranya disebabkan masalah teknikal enjin.

Disiarkan pada: September 7, 2023 @ 1:20pm
d