mutakhir

Pejalan kaki maut, penghantar makanan parah terbabit kemalangan

Oleh Juwan Riduan

Labuan: Pejalan kaki maut dilanggar sebuah motosikal ketika melintas di kawasan berhampiran Jambatan Sebor/Saguking, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa, Abdillah Abbas, 65, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Labuan.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, penghantar makanan dari arah Jalan Patau-Patau menghala ke bandar terlanggar pejalan kaki yang datang dari pembahagi jalan dipercayai melintas ke sebarang.

"Akibat kemalangan itu, pejalan kaki dan penunggang motosikal cedera dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pejalan kaki disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Labuan.

"Penunggang motosikal lelaki berusia 26 tahun parah dan menerima rawatan lanjut di Zon Merah Hospital Labuan.

"Siasatan mendapati ketika kejadian keadaan cuaca berangin kuat dan jalan raya dalam keadaan gelap tidak berlampu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 10, 2023 @ 2:11pm
d