mutakhir

Kanak-kanak lemas ketika tangkap ikan di sungai

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun lemas ketika menangkap ikan di sungai berdekatan Jalan Nilam 1, Taman Cendana, dekat sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian berkenaan pada jam 5.16 petang.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota bersamajentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tindakan operasi membuat pencarian di sekitar kawasan mangsa iaitu Muhamad Danil Zahri Borhanuddin dipercayai lemas dan berjaya ditemui pada jarak tiga meter dari tebing sungai pada kedalaman tiga meter.

"Mangsa difahamkan ke lokasi untuk menangkap ikan di sungai manakala beberapa rakannya juga dipercayai mandi disungai berkenaan. Ia bukan kawasan beriadah," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, jenazah diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada 6.40 petang," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2023 @ 10:03pm
d